Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dua buah kenderaan terbakar setiap minggu atau lapan buah setiap bulan dari Januari sehingga 27 Oktober tahun ini secara purata, manakala panggilan insiden kebakaran kereta diterima dan dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pula merekodkan 75 panggilan.
Statistik itu dikongsi oleh JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, apabila satu lagi panggilan kecemasan insiden kebakaran kereta diterima pada jam 2:49 pagi di kawasan berdekatan letak kereta UNISSA.
Seramai enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pemangku DSO Metussin bin Haji Asmat dari Balai Bomba Beribi dikerahkan ke tempat kejadian kebakaran kereta berkenaan. Apabila tiba di sana, mereka mendapati api kecil membakar keseluruhan enjin sebuah kereta jenis salon manakala dua buah kereta yang berdekatan mengalami kerosakan terkena bahang kebakaran itu.
Anggota JBP bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos dengan air diperoleh dari tangki jentera bomba. Pemandu kereta berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara asing yang telah pun keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai dan punca serta kerugian masih dalam penyiasatan.
Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis dry chemical powder di dalam kereta.
JBP juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya ia dibuat dengan cara betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.