Wednesday, November 20, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JBP terima dua panggilan kecemasan kebakaran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dua insiden kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan berasingan di Daerah Brunei dan Muara, kelmarin, yang melibatkan sebuah bangunan komersial dan sebuah kediaman, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.

    Insiden pertama dilaporkan berlaku pada jam 4:54 pagi kelmarin, apabila Pusat Gerakan 995 menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di sebuah bangunan dua tingkat di Mukim Gadong yang menempatkan kedai hardware.

    Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Beribi, Berakas dan Rimba telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati asap tebal dan api besar telah membakar empat unit kedai di tingkat bawah bangunan.

    Penolong Pegawai Balai, Azami bin Haji Bungsu bersama 17 anggota bomba lain telah mengetuai operasi pemadaman kebakaran tersebut. Tiga pasukan memakai alat pernafasan telah dihantar masuk ke dalam bangunan untuk memadamkan api menggunakan tiga jet hos yang disambungkan dari sumber air berdekatan, termasuk tangki jentera light pumper 11 dan pili bomba yang disalurkan ke jentera light pumper 16 dan water ladder 31.

    Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 20 minit. Siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai akibat kepanasan berlebihan daripada bateri lithium-ion (Li-on) yang terkumpul di ruang membuat kunci. Jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Manakala, insiden kedua telah dilaporkan pada jam 8:11 malam kelmarin, apabila kebakaran berlaku di sebuah rumah di Kampung Sungai Tilong, di mana dua jentera bomba dari Balai Bomba Lambak Kanan dan Berakas telah dikerahkan ke lokasi.

    Anggota bomba berusaha memadam api dalam kejadian kebakaran bangunan komersial, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JBP
    Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam api dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sungai Tilong. – GAMBAR SERAHAN JBP

    Setibanya di lokasi, api telah pun padam, namun siasatan mendapati kebakaran bermula di bilik tidur dan melibatkan sinta yang rosak akibat bahang api di tingkat satu rumah tersebut.

    Pemangku Timbalan Pegawai Balai, Jasme bin Othman mengetuai operasi bersama 15 anggota bomba lain, yang menggunakan alat pernafasan dan jet hos air untuk memadam sisa bara api serta memecah sinta rumah menggunakan hook siling.

    Punca kebakaran dipercayai akibat kipas siling yang terlalu panas kerana sentiasa dalam keadaan dihidupkan.

    Kedua-dua kejadian turut disertai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, Stesen Komander Balai Bomba Berakas, Pasukan Unit Siasatan Kebakaran dan Ketua Pusat Gerakan 995.

    Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan penggunaan peralatan elektrik dan memahami langkah-langkah keselamatan kebakaran. Orang awam diminta untuk menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang kebakaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda