Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JBS anjur Program Ahlan Ya Ramadan

    Oleh Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 30 April – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyebarkan maklumat mengenai persediaan bagi bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah menganjurkan Program Ahlan Ya Ramadan di dewan Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, di sini, kelmarin.

    Lebih 200 orang belia dari pelbagai persatuan belia, Program Belia Cinta Tanah Air, sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi, alumni program pertukaran antarabangsa dan ramai lagi telah menyertai program tersebut.

    Hadir menyaksikan program ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang.

    Program telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid RPN Kampung Pandan, Haji Noor Azhar bin Haji Harith diikuti dengan bacaan Surah Al-An’am oleh Awang Qawiyuddin bin Haji Suhaili.

    Kemudian, program disusuli dengan ceramah bertajuk ‘Menuju Ramadan’ yang disampaikan oleh Haji Abdul Afiq bin Zainuddin yang menjelaskan mengenai pelbagai persediaan yang boleh dilakukan dengan kehadiran bulan Ramadan serta banyak lagi.

    Program diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh Haji Noor Azhar.

    Dengan kejayaan program di masjid tersebut, Jabatan Belia dan Sukan berharap para belia yang hadir akan dapat menggunakan maklumat yang dipelajari untuk mempersiapkan diri bagi bulan puasa dan menyebarkan lagi maklumat berkenaan kepada rakan-rakan dan keluarga bagi memastikan mereka semua betul-betul bersedia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda