Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JCB adakan taklimat Program i-RDY April ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Bagi memberi penjelasan mengenai Program Perantisan i-Ready (i-RDY), Pusat Pekerjaan Brunei (JCB) akan mengadakan sesi taklimat terbuka bagi syarikat-syarikat dan graduan (kelulusan sarjana muda ke atas) bermula April ini di bangunannya di Beribi.

    Sepanjang bulan depan, sesi taklimat bagi syarikat-syarikat akan diadakan setiap Rabu dan Jumaat dari pukul 2:30 petang hingga 4 petang, manakala itu, sesi terbuka bagi para graduan adalah setiap Isnin dan Selasa dari 9 pagi hingga 10 pagi dan 10:30 pagi hingga 11:30 pagi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semasa sesi berkenaan, syarikat-syarikat dan graduan akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri Program i-RDY termasuk proses permohonan, kelayakan dan objektif yang hendak dicapai daripada program tersebut.

    Ia juga merupakan peluang terbuka bagi syarikat-syarikat dan graduan untuk bertanya soalan atau mendapatkan penjelasan lanjut atau bantuan secara langsung daripada perwakilan Unit Dasar dan Perancangan Tenaga Manusia (MPPU).

    Program i-RDY yang dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Pembukaan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ke-13 pada 6 Mac lalu.

    Objektif utama program adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan-graduan (sarjana muda, sarjana dan PhD) yang tidak bekerja menerusi penempatan selama tiga tahun sebagai perantis di organisasi-organisasi yang ikut serta.

    Sepanjang tiga tahun berkenaan, setiap perantis akan menerima elaun sebanyak $800 daripada pihak kerajaan dan pada masa yang sama mereka akan dilatih oleh jurulatih dan mentor yang dikenal pasti dalam organisasi tersebut.

    Para pemohon warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dengan kelayakan sarjana muda, sarjana atau PhD dan tidak bekerja dialu-alukan untuk memohon bagi program tersebut.

    Kenyataan turut menjelaskan proses permohonan, yang mana semua pemohon yang berminat terlebih dahulu mesti mendaftar di JCB menerusi portal www.jobcentrebrunei.gov.bn di mana mereka akan dapat melengkapkan profil peribadi, memuat naik CV dan dokumen-dokumen berkaitan.

    Sebaik sahaja mendaftar, pemohon akan dapat mencari kerja i-RDY yang dipaparkan di portal tersebut dan mendaftar bagi jawatan yang dikehendaki.

    Kemudian, pemohon-pemohon akan melalui proses pemilihan dan sebaik sahaja disenarai pendekkan, pemohon akan ditemu duga oleh organisasi berkenaan dan MPPU. Jika temu duga itu berjaya, kumpulan pertama penempatan ke organisasi berkenaan akan bermula seawal-awalnya 1 April 2017.

    Mana-mana organisasi atau syarikat yang berminat untuk menerima para perantis berkenaan juga mesti mendaftar di JCB dan diperlukan untuk menghantar borang permintaan i-RDY yang boleh dimuat turun di laman sesawang Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri.

    Borang yang lengkap diisi boleh dihantar ke MMPU menerusi e-mel mppu@jpm.gov.bn. Sebaik sahaja MPPU menerima borang berkenaan, jawatan yang disahkan akan dipaparkan di laman sesawang berkenaan.

    Semua butiran pemohon yang disenarai pendekkan akan diberikan kepada organisasi berkenaan bagi proses penyenaraian lanjut, kemudian sesi temu duga akan diaturkan dan akhirnya perantis yang berjaya akan ditempatkan di organisasi tersebut.

    Bagi maklumat lanjut, para pencari kerja dan orang awam boleh menghubungi JCB di talian 2444123 atau menerusi e-mel mppu@jpm.gov.bn.

    Para pencari kerja juga dialu-alukan untuk datang ke JCB, bekas Bangunan BINA, KM 8, Jalan Perindustrian Kampung Beribi, di sini, setiap Isnin hingga Sabtu dari pukul 7:45 pagi hingga 4:30 petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda