Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – JobCentre Brunei (JCB) meneruskan lagi usahanya dalam menyediakan platform kepada pencari kerja tempatan untuk mendapatkan peluang-peluang pekerjaan dengan mengadakan Mini Recruitment Drive (MRD) di JCB, Jalan Perindustrian Beribi, hari ini.
Melalui acara Meet & Greet itu, lebih 250 orang pengunjung merebut peluang untuk berinteraksi secara langsung bersama wakil-wakil profesional daripada beberapa syarikat khususnya dalam industri penerbangan, pengangkutan dan logistik serta maritim iaitu Amarco Sdn Bhd, Belait Shipping Co (B) Sdn Bhd, Boustead Sdn Bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Globex Global Logistics Sdn Bhd, Go Rush Express, Syarikat Pelabuhan Muara dan Royal Brunei Culinary.
Acara seharian itu juga bertujuan untuk memberigakan jawatan-jawatan kosong yang sedia ada dalam sektor swasta dan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan.
Turut dipamerkan adalah inisiatif-inisiatif di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC) termasuk program perantisan i-Ready, program SkillsPlus dan
Manpower Industry Steering Committee (MISC) dalam sektor pengangkutan dan
logistik.
Pencari kerja tempatan yang berminat untuk menceburi industri penerbangan, pengangkutan dan logistik, jawatan-jawatan yang ditawarkan melalui MRD tersebut masih dibukakan sehingga pukul 4 petang pada 19 Jun ini.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan-pautan yang dikongsikan dalam Instagram @mpec_secretariat dan @jobcentrebrunei serta saluran Telegram ‘JobCentre Brunei’.
Pemohon-pemohon yang disenaraipendekkan akan dihubungi oleh syarikat bagi proses pengambilan selanjutnya.
