Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kolej Sains Kesihatan Jerudong Park Medical Centre (JCHS), kolej sains kesihatan swasta yang pertama ditubuhkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC), syarikat dimiliki penuh oleh Darussalam Assets Sdn Bhd (DA) dengan kerjasama Far Eastern University (FEU), Republik Filipina, telah dirasmikan hari ini di Jalan Ong Sum Ping dan diteruskan dengan Hari Terbuka kolej berkenaan.
Ia telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi JCHS; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengarah JCHS; dan Presiden FEU, Juan Miguel Reyes Montinola.
Ketua Pegawai Eksekutif JCHS, Chung Yea Fui dalam ucapannya antara lain menjelaskan matlamat kolej adalah untuk menyokong masa depan penjagaan kesihatan negara dengan berusaha ke arah wawasan negara 2035.
“Dengan terus memandang ke hadapan, kami akan terus memperbanyakkan program dan tawaran serta menyesuaikan diri dengan keperluan industri penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.

“Kami akan melabur dalam kemudahan terkini, memastikan para pelajar mempunyai akses kepada sumber terbaik untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka,” jelasnya.
“Kami berjanji untuk mengekalkan standard pendidikan tertinggi, memupuk persekitaran inovasi, penyelidikan dan penjagaan yang penuh dengan belas kasihan, di mana graduan kami bukan sahaja akan dilengkapkan dengan pengetahuan akademik, tetapi juga dengan nilai empati, integriti, dan profesionalisme,” tambahnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan acara memotong reben oleh tetamu-tetamu kehormat yang melambangkan perasmian kampus kolej JCHS di Blok 21 (Sayap Timur), Jalan Ong Sum Ping diikuti dengan penandatanganan plak perasmian kampus berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua kemudian berpeluang melihat lebih dekat lagi kemudahan yang terdapat di kampus berkenaan.
Kolej tersebut berbangga dengan program Asasi dalam Persijilan Sains dan Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan yang disampaikan oleh pasukan akademik dalaman kolej yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
Hari terbuka kolej berkenaan yang diadakan pada sebelah petang itu membolehkan bakal pelajar dan orang ramai untuk melihat bangunan dan kemudahan-kemudahan kolej. Acara turut diisi dengan kempen derma darah oleh Tabung Darah JPMC dan sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma. Orang ramai juga diberi peluang untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi barangan cenderamata JCHS sepanjang hari terbuka kolej itu.

