Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JDB, MPK PN Panaga tandatangani kontrak pemotongan rumput

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 2 OKT – Majlis menandatangani perjanjian kontrak perkhidmatan pemotongan rumput antara Jabatan Daerah Belait (JDB) dan sebuah syarikat tempatan, iaitu Perusahaan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Perumahan Negara (PN) Panaga Kawasan A, telah diadakan di Dewan Intisar, JDB, tadi pagi.

    Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. Menandatangani bagi pihak JDB ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani manakala Ketua Kampung PN Panaga Kawasan A, Awang Muhammad Nurzairie bin Abdullah Peter mewakili syarikat berkenaan.

    Menerusi perjanjian tersebut, syarikat berkenaan dilantik melaksanakan kerja-kerja pemotongan rumput di sembilan lokasi termasuk Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan; Dewan Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria; Dewan Serba Guna Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat; Dewan Serba guna Kampung Merangking; Balai Raya Kampung Sungai Teraban; Balai Raya Kampung Lumut; Balai Raya Kampung Sungai Liang; Dewan Serba guna Mukim Sukang dan Rumah Persinggahan Mukim Sukang. Tempoh kontrak bermula 1 September lalu hingga 31 Ogos 2026.

    Syarikat tersebut merupakan yang pertama dalam kalangan majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) di Daerah Belait yang diberi kepercayaan oleh JDB untuk melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan aset jabatan secara berkontrak. Pelaksanaan kontrak itu melibatkan tenaga kerja sepenuhnya daripada penduduk tempatan, termasuk mereka yang kurang berkemampuan.

    Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang JDB untuk membuka peluang kepada MPMK menyertai tawaran sebut harga berkaitan pemeliharaan aset jabatan, di samping mempelopori projek perekonomian masyarakat. Ia diharap dapat menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada penduduk kampung melalui perkhidmatan yang mudah dilaksanakan.

    JDB juga berharap lebih banyak MPMK akan menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan dan seterusnya menyertai pelbagai tawaran projek yang disediakan sama ada oleh jabatan ini mahupun agensi-agensi kerajaan yang lain.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu- penghulu mukim, ketua-ketua kampung Daerah Belait serta pegawai-pegawai JDB.

    Gambar ramai wakil-wakil dari JDB dan Perusahaan MPK PN Panaga Kawasan A. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda