JDT II Juara Edisi Kedua Piala Cabaran

KUALA LUMPUR, 13 OKT – Naib juara Liga Premier 2019, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) muncul juara edisi kedua Piala Cabaran setelah menewaskan finalis 2018, UKM FC dengan keputusan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, kelmarin.

Perlawanan terpaksa ditentukan ke masa tambahan 30 minit setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 secara agregat, termasuk selepas masa tambahan 30 minit.

Untuk rekod, JDT II mengalahkan UKM FC 1-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru pada 4 Oktober lepas.

Selaku juara, JDT II membawa pulang trofi Piala Cabaran dan wang tunai berjumlah RM200,000 dan pingat, manakala UKM FC terpaksa berpuas hati dengan wang tunai RM75,000 dan pingat yang disampaikan Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Kapten Mohd Anizam Jamian.

Penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Mohd Jalil dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Pada aksi di Cheras, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama, namun gagal ketumpulan jentera penyudah kedua-dua pasukan menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan untuk memburu gol pembukaan, dan akhirnya pemain import dari Croatia, Mateo Roskam meletakkan UKM FC di hadapan pada minit ke-82 setelah memanfaatkan hantaran silang Milad Zanidpour.

Gol itu jelas menyemarakkan semangat pemain skuad ‘The Varsity Boys’ untuk menambah jaringan, namun ketumpulan jentera penyudah menyaksikan keputusan perlawanan kekal 1-0 dan terpaksa dibawa ke masa tambahan 30 minit bagi menentukan pemenang, sebelum diheret ke aksi penentuan sepakan penalti setelah perlawanan masih terikat 1-1 secara agregat.

Bekas pemain kebangsaan, Mohamad Fadhli Mohd Shas muncul wira skuad Harimau Selatan setelah menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memastikan trofi Piala Cabaran menjadi milik JDT II. – Bernama

Pemain dan pegawai pasukan JDT II meraikan kejayaan menjuarai Challenge Cup 2019 selepas menewaskan pasukan UKM FC di Stadium Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama