KUALA LUMPUR, 3 NOV – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap tahun ini sebagai musim yang hebat selepas skuad Harimau Selatan menamatkan musim dengan tiga kejuaraan termasuk piala berprestij, Piala Malaysia, malam tadi.
JDT merangkul Piala Malaysia untuk kali kedua selepas 2017 setelah membenam Kedah 3-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, di samping menambah trofi juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut serta Piala Sumbangsih.
Beliau berkata kemenangan itu adalah atas sokongan tidak berbelah bahagi oleh pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta memuji barisan kejurulatihan dan pemain atas usaha gigih meraka sepanjang musim ini.
“Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada projek JDT kerana dapat membimbing sekumpulan pemain yang hebat untuk meraih banyak kejayaan seperti menjuarai Piala Malaysia,” katanya pada seidang media selepas perlawanan final itu.
Mora berkata kehadiran penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad pada awal perlawanan telah memberi kesan kepada pasukannya selepas penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo gagal menyinar setelah masih belum cergas sepenuhnya.
Jurulatih kelahiran Mexico berusia 40 tahun itu juga menafikan dakwaan peminat bahawa perlawanan itu berat sebelah memandangkan Kedah turun tanpa tiga tonggak utamanya. – Bernama
