KUALA LUMPUR, 1 NOV – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bersedia dalam usaha mereka memenangi Piala Malaysia selepas kali terakhir tiga tahun lepas, apabila bertemu Juara Piala FA Kedah, pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
JDT yang sehingga kini menikmati musim cemerlang, dengan memulakan Liga Malaysia (Liga-M) dengan memenangi Piala Sumbangsih, sebelum mengekalkan penguasaan takhta Liga Super untuk musim keenam berturut-turut.
Bagaimanapun, walaupun melalui musim yang cemerlang, ketua jurulatih Benjamin Mora merasakan pasukannya masih perlu mempamerkan permainan terbaik, mereka jika mahu memenangi piala ketiga mereka.
“Kami amat hormati Kedah, mereka juga nikmati tahun yang bagus… menang piala FA dan amat baik dalam liga. Seperti yang saya katakan, ia bukan sesuatu yang mudah, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu pada perlawanan final Piala Malaysia pada 2017, yang menyaksikan JDT mengalahkan Kedah 2-0 dan mengakhiri penantian memenangi Piala Malaysia selama 26 tahun.
Sementara itu bagi Penyerang Kedah, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akan mengetepikan sementara ikatan adik beradik dengan pasangan kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Razak yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Bekas pemain kebangsaan itu yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama Aidil pada 2009 dan 2011 sewaktu beraksi dengan Negeri Sembilan, menegaskan fokus utamanya adalah membantu Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali keenam walaupun sedar Aidil Zafuan yang merupakan abangnya, turut memasang impian yang sama.
Untuk rekod, Kedah muncul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016, manakala JDT meraih kejuaraan sulung pada 2017 setelah menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam.
“Sentimen adik beradik itu kita perlu tolak ke tepi dahulu apabila berada di tengah padang, cuma kita berdua akan buat yang terbaik untuk pasukan masing-masing, dan doa emak itu penting.Menang kalah itu adat pertandingan. – Bernama
