KUALA LUMPUR, 15 MAC – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pendahulu Liga Super menjelang penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M), yang secara rasminya bermula Isnin ini, sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.
Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun sekadar mencatat keputusan 1-1, berdepan Felda United pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini, sekali gus gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan musim ini.
JDT di bawah bimbingan ketua jurulatih Benjamin Mora tidak pernah tewas dalam tiga aksi pertama.
Perlawanan malam ini turut melakar sejarah dalam lipatan bola sepak negara khususnya saingan Liga Super, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menjalankan perlawanan minggu ini tanpa penonton, sebagai langkah keselamatan berikutan penularan wabak COVID-19.
Penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-21, sebelum bekas penyerang skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis Frederic Bulot, menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan permainan ‘tiki-taka’ dalam kotak penalti lawan.
Pemain import Gonzalo Cabrera berpeluang memberikan tiga mata berharga kepada pasukan, namun sepakan penalti diambil bijak ditampan penjaga gol Muhaimin Mohamad pada minit ke-62, sebelum kedua-dua pasukan buntu dalam menjaringkan gol kemenangan sehingga tamat perlawanan.
Di Stadium Hang Jebat, gol tunggal penyerang berbisa Pahang Dickson Nwakaeme pada minit ke-67 memastikan skuad Tok Gajah meraih tiga mata selepas mengatasi Melaka 1-0, untuk meraih kemenangan kedua musim ini.
Pada masa sama, Perak menarik nafas lega apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Bernama
