Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JDT menang besar ke atas KDN FC

    ISKANDAR PUTERI, 11 APRIL – Kemenangan 9-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam, menjadi suntikan semangat menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan datang.

    Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata kemenangan itu turut membantu membina momentum menjelang perlawanan terakhir Liga Super minggu hadapan, sekali gus memberikan peluang kepada setiap pemain untuk menampilkan aksi terbaik sebelum musim liga berakhir.

    “Walaupun musim ini lebih mencabar disebabkan tempohnya yang lebih panjang berbanding musim-musim sebelumnya, semua pemain JDT yang diturunkan telah menunjukkan prestasi yang mantap.

    “Jika perlawanan ini memberikan keputusan yang positif, ia akan menjadi sokongan moral yang baik untuk dibawa apabila kami menentang Sri Pahang nanti,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di SSI semalam.

    Sementara itu, Pembantu Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya berkata walaupun tewas dengan jumlah jaringan yang besar, beliau tetap memuji komitmen pemainnya.

    Beliau berkata para pemain KDN FC telah beraksi dengan sehabis baik walaupun kini berhadapan dengan isu dalaman yang melanda pasukannya.

    “Saya berharap kita di KDN FC ini akan terus beraksi sehingga perlawanan yang terakhir, sebab masih menghormati kontrak yang masih ada dalam saingan liga.

    “Mereka tetap main bersungguh-sungguh, walaupun kena sembilan gol…namun kita tahu lawan kita sebentar tadi (semalam) adalah JDT, iaitu satu pasukan yang kuat dan dibarisi oleh deretan pemain bintang,” katanya. – Bernama

    Safiq Rahim (kanan) meraikan gol kesembilan bersama rakan sepasukan, ketika menentang Kelantan Darul Naim FC semasa perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada 10 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda