KUALA LUMPUR, 26 OKT – Kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar dibendung apabila terus ‘mengganas’ dengan kali ini menjadikan DPMM FC sebagai ‘mangsa’ apabila menumpaskan lawan itu 10-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Bergson da Silva hasil hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi.
Tuan rumah terus mengasak sebelum dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-32 selepas Oscar Arribas dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Muhd Syafiq Safiuddin Abd Shariff, yang sebelum itu menerima amaran pertama pada minit ke-23 sebelum dilayangkan kad merah.
Bergson tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-35 dan menambah satu lagi jaringan dua minit kemudian bagi melengkapkan hatrik peribadi, sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 3-0.
Seminit masa kecederaan babak pertama, Aribas menambah jaringan keempat selepas bijak menyelinap masuk ke kawasan lawan untuk menolak masuk bola hantaran jauh penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunjukkan belas kasihan apabila terus berpesta gol.
Manuel Hidalgo meledak jaringan kelima pada minit ke-56 hasil gerakan Romel Morales, sebelum Pengiran Yura Indera Putera Pengiran Yunos tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-64.
Arif Aiman menambah jaringan ketujuh pada minit ke-68, manakala Bergson sekali lagi menemui sentuhan pemusnah dengan gol keempat peribadi pada minit ke-73 hasil umpanan Hidalgo.
Pesta jaringan diteruskan apabila Jairo Da Silva menjaringkan gol kesembilan pada minit ke-82 selepas menerima hantaran Park Junheong, sebelum Morales menutup malam gemilang JDT dengan tandukan kemas pada minit ke-88.
Kemenangan besar itu sekali lagi menegaskan status JDT sebagai pasukan utama dalam bola sepak Malaysia selain terus kukuh di puncak Liga Super musim ini.


