KUALA LUMPUR, 5 FEB – Gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan menandatangani tiga bekas pemain La Liga Sepanyol untuk memperkuatkan skuad berkenaan dalam mengejar impian pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Ketiga-tiga pemain itu ialah bekas penyerang Valencia, Jonathan Viera, bekas pemain tengah Sevilla dan Swansea City, Roque Mesa dan bekas pemain pertahanan Villarreal, Alvaro Gonzalez, yang sebelum ini bermain bersama legenda Portugal Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi Al-Nassr FC.
JDT mengumumkan menandatangani pemain itu secara berperingkat menerusi laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers.
Skuad Harimau Selatan itu dijadualkan menentang pasukan Australia Central Coast Mariners pada hari Selasa (11 Februari) di New South Wales, sebelum menamatkan kempen peringkat liga Zon Timur menentang FC Pohang Steelers dari Korea Selatan pada 18 Februari di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
JDT kini dalam kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat kalah mati selepas menduduki tempat keenam dalam Kumpulan A dengan kelebihan perbezaan gol walaupun berkongsi lapan mata bersama wakil China Shanghai Port dan Buriram United dari Thailand selepas enam perlawanan. – Bernama