MELAKA, 11 OKT – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berupaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala Malaysia akan datang, meskipun tanpa kehadiran
tonggak pasukan Muhammad Safawi Rasid.
Ia dibuktikan dengan kejayaan JDT menundukkan Melaka 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam.
Jurulatih skuad Harimau Selatan Benjamin Mora berkata dengan ketiadaan pemain berusia 23 tahun itu, ia juga memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan membantu persiapan pasukan untuk aksi Piala Malaysia.
“JDT bukan mengenai seorang pemain sahaja. Kami semua sayangkan Safawi kerana dia seorang pemain yang hebat, berkeyakinan tinggi. Kami percaya ia adalah keputusan terbaik untuknya beraksi di luar negara dan kami di sini perlu teruskan
permainan dan beraksi dalam satu pasukan.
“Seseorang bakal menggantikan tempatnya (Safawi), kami dapat melihat bagaimana prestasi pemain malam tadi. Kami akan membuat perancangan untuk permainan dan sesi latihan berikutnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.- Bernama