Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JE tiada di Brunei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan orang ramai tidak berasa cemas dan panik susulan penularan mesej melalui media sosial WhatsApp berhubung penyakit Japanese encephalitis (JE) yang tersebar di negara jiran.

    Kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan jangkitan virus tersebut memang terdapat di rantau ini termasuk Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, tidak ada penyakit tersebut dilaporkan di negara ini dari tahun 2016 sehingga kini.

    Jangkitan JE ialah sejenis jangkitan virus yang dibawa oleh nyamuk, serupa dengan jangkitan yang menyebabkan demam denggi dan malaria. Virus JE dibawa oleh nyamuk jenis Culex yang boleh didapati di kebanyakan tempat di Negara Brunei Darussalam.

    Nyamuk ini sering membiak di permukaan air yang bertakung seperti di dalam longkang yang kotor, paya dan lopak tanah yang berlumpur. Hasil daripada pemantauan berterusan kementerian ini, pembiakannya didapati meningkat berlipat-ganda semasa musim hujan. Lazimnya, nyamuk ini akan keluar di antara waktu senja hingga tengah malam.

    Di antara tahun 2013 hingga 2015, sebanyak 17 kes jangkitan virus JE telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Kesemua pesakit yang telah dijangkiti telah pulih sepenuhnya.

    Menurut kajian perubatan, kebanyakan kes jangkitan virus JE tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau simptom. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil pesakit, terutama di kalangan kanak-kanak dan warga emas, boleh mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, mual dan muntah.

    Jika tidak dirawat, jangkitan ini juga boleh menjejaskan keadaan mental dan menyebabkan simptom neurologi atau urat saraf, lemah dan gangguan pada pergerakan badan selepas beberapa hari. Sawan juga boleh berlaku terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.

    Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini tidak ada rawatan khusus bagi merawat jangkitan virus tersebut. Rawatan pesakit-pesakit adalah lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan serta pemantauan rapi di hospital, jika diperlukan. Walau bagaimanapun jangkitan ini boleh dicegah melalui suntikan vaksin JE.

    Di Negara Brunei Darussalam, suntikan vaksin ini diberikan secara percuma kepada penduduk dan penduduk tetap negara ini manakala kadar bagi orang asing ialah $55. Orang ramai yang memerlukan vaksin tersebut boleh mendapatkannya dari pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara.

    Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi penyakit tersebut dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari negara-negara jiran dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

    Kementerian Kesihatan juga akan memaklumkan perkembangan mengenai situasi penyakit ini yang dilaporkan di negara jiran berkenaan kepada orang ramai jika jangkitan-jangkitan semakin meningkat dan membimbangkan.

    Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan sekeliling dan tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan pembiakan nyamuk-nyamuk pembawa penyakit. Ini termasuklah sentiasa membersihkan longkang dan memastikan tidak berlakunya takungan-takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

    Bagi sebarang pertanyaan tentang penyakit JE ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda