Jean Castex PM baharu Perancis

PARIS, 3 JULAI – Presiden Perancis Emmanuel Macron menamakan kakitangan awam kanan, Jean Castex sebagai Perdana Menteri baharu Perancis untuk menggantikan Edouard Philippe.

Pelantikan Castex, yang bertanggungjawab menyelaras dasar pelonggaran langkah kawalan selepas pandemik COVID-19, adalah sebahagian daripada rombakan kabinet negara itu.

Pejabat presiden, dalam satu kenyataan berkata Macron melantik Castex sebagai perdana menteri dan memberikan mandat kepada beliau untuk menubuhkan kerajaan.

Philippe dan kerajaan pimpinannya menyerah surat peletakan jawatannya hari ini sebelum rombakan kabinet diumumkan, kata pejabat presiden.

Tidak ada sebab-sebab diberikan dalam kenyataan pendek yang dikeluarkan, namun satu rombakan sudah lama dijangkakan selepas Macron berikrar akan menyelaras langkah baharu sebelum dua penggal terakhir beliau tamat.

Spekulasi mengatakan Philippe bemungkin meletak jawatan tersebar pada minggu ini selepas parti Macron ditewaskan dalam pilihan raya perbandaran Ahad lalu dan parti Hijau mengawal beberapa bandar besar.

Dalam satu temu bual dengan akhbar serantau yang disiarkan lewat semalam, Macron berkata Perancis mesti bersedia untuk menghadapi ‘krisis ekonomi amat sukar, maka kami perlu menyelaras langkah baharu.’

“Saya melihatnya berdasarkan pembinaan semula ekonomi, sosial, alam sekitar dan budaya,” kata beliau. “Di belakangnya, terdapat satu kumpulan baharu yang akan ditubuhkan.” – AFP

Gambar fail bertarikh 19 Mei 2020 menunjukkan Jean Castex meninggalkan sidang video dengan Presiden Perancis dan datuk bandar di Istana Elysee di Paris. – AFP