JEDDAH, 2 NOV – Bandar Jeddah bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran edisi ke-13 FoodEX Saudi 2025 dari 3 hingga 6 November, yang akan menyediakan platform komprehensif untuk mempamerkan produk dan meneroka peluang pelaburan, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
FoodEX Saudi 2025 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Acara Jeddah bertujuan mengetengahkan prospek komersial melalui francais dalam industri makanan, hospitaliti dan bakeri dengan kerjasama Saudi Franchise Expo.
Acara itu menghubungkan usahawan dan pelabur dengan jenama tempatan serta antarabangsa, sekali gus memupuk perkongsian dan memperluas peluang pelaburan dalam sektor makanan di Arab Saudi.
Pameran itu juga akan menyediakan persekitaran dinamik untuk bertukar-tukar kepakaran dan membina perkongsian antara jenama Arab Saudi dan global.
Lebih 200 jenama dari 15 negara akan mengambil bahagian, termasuk China, Turkiye, Itali, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, India, Sepanyol, Sri Lanka, Malaysia, Nigeria, Vietnam, Mesir, Uzbekistan dan Thailand.
Pempamer akan mempamerkan inovasi terkini dalam bidang makanan, minuman dan hospitaliti menerusi pavilion negara masing-masing yang mencerminkan budaya serta tradisi kulinari mereka. – Bernama


