Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jedinak terlepas Piala Konfederasi

    SYDNEY, 13 Jun – Kapten Australia, Mile Jedinak (gambar) telah menarik diri dari perlawanan persahabatan dengan Brazil dan Piala Konfederasi bulan ini kerana kecederaan groin, menurut Persekutuan Bola Sepak Australia.

    Pemain tengah Aston Villa itu mengalami kesakitan selepas kemenangan 3-2 Australia ke atas Arab Saudi minggu lepas dan jurulatih Ange Postecoglou berkata dengan skuad Socceroos perlu bermain sekurang-kurangnya empat perlawanan dalam tempoh 13 hari, risiko terlalu besar bagi Jedinak.

    Dia akan digantikan oleh pemain tengah yang berpangkalan di Austria, James Jeggo.

    “Kehilangan Mile adalah satu tamparan kerana dia bukan sahaja ahli penting di barisan tengah tetapi sebagai pemimpin skuad,” kata Postecoglou.

    “Dia telah mengharungi tempoh sukar sejak Krismas dengan masalah groin dan kami semua setuju bahawa ia adalah keputusan terbaik bagi jangka masa panjang untuk Mile dan Socceroos, bahawa dia perlu berehat bagi memastikan dia cergas bagi musim baru.”

    Jedinak berkata dia kecewa kerana tidak dapat menerajui negaranya di Piala Konfederasi di Rusia, dengan sepak mula pada 17 Jun.

    “Ia adalah sesuatu yang kami tunggu-tunggu sejak kami memenangi Piala Asia,” kata Jedinak.

    “Tetapi kami mempunyai beberapa perlawanan penting yang perlu dihadapi dalam 12 bulan seterusnya menuju ke Piala Dunia, yang mana saya perlu cergas dan penuh bersemangat.”

    Socceroos akan berhadapan dengan Brazil di Melbourne hari ini sebelum berlepas ke Rusia esok, di mana mereka akan berdepan dengan Jerman, Cameroon dan Chile dalam peringkat kumpulan Piala Konfederasi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda