Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jeeno takluk Terbuka Amerika

    NEW YORK, 12 MEI – Bintang golf Thailand, Jeeno Thitikul meraih gelaran kelima dalam Jelajah LPGA selepas muncul juara di Terbuka Amerika yang berlangsung di Liberty National kelmarin.

    Pemain nombor dua dunia itu mencatat tiga bawah par 69 pada pusingan akhir untuk menang dengan kelebihan empat pukulan mengatasi wakil Perancis, Celine Boutier, yang mencatat par 72 dalam pusingan terakhirnya.

    Jeeno menamatkan kejohanan dengan keseluruhan 17 bawah par selepas aksi konsisten dan melakukan birdie di lubang pertama, kesembilan dan ke-17.

    Bintang muda berusia 22 tahun itu mengakhiri musim lalu dengan kemenangan dalam Kejohanan Penutup Musim LPGA pada bulan November dan turut merangkul gelaran dalam Jelajah Eropah Wanita di Arab Saudi pada Februari.

    Kejayaannya di Jersey City itu adalah kemenangan profesional ke-11 di semua jelajah.

    Jeeno bergambar bersama trofi selepas pusingan akhir Terbuka Amerika Mizuho 2025 pada 11 Mei. – AFP

    Jeeno memulakan pusingan akhir dengan kelebihan satu pukulan ke atas Boutier, namun mengakui bahawa dia langsung tidak mengetahui kedudukan sebenar di papan markah ketika menghampiri lubang terakhir.

    “Saya tidak tahu. Mungkin semasa pukulan terakhir baru saya sedar, kerana saya memang tidak tengok papan markah langsung. Saya cuma tanya kedi saya sama ada saya perlu buat par atau tidak. Dia kata, ‘Tak apa, saya rasa awak selamat’. Saya pun rasa lega, barulah boleh tarik nafas,” katanya.

    Jeeno berkata kedudukan pin yang rumit digabungkan dengan keadaan cuaca telah menyukarkannya untuk membuat par.

    Pemain Sepanyol, Carlota Ciganda dan wakil Amerika Syarikat, Andrea Lee, berkongsi tempat ketiga.

    Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Nelly Korda memulakan hari dengan hanya dua pukulan di belakang Jeeno, namun terpaksa akur apabila mencatat empat bogey dan menamatkan pusingan dengan satu di atas par 73. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda