Pada usia menjengah 74 tahun, bintang legenda, Datuk Jeffrydin masih sihat dan bertenaga.
Jarang sekali didengar penyanyi yang popular dengan lagu Kenanganku dan Mas Mona ini ditimpa penyakit kronik seperti rakan seangkatan.
Pernah beberapa kali menyaksikan sosok ini beraksi di pentas, Jeffrydin bukan sahaja bijak bergaya dengan mengekalkan imej penyanyi irama Pop Yeh Yeh yang sinonim dengan dirinya, malah, mampu bergoyang mengikut melodi dialunkan.
Bertemu penyanyi ini pada majlis sidang media program realiti Immortal Songs di ibu negara, baru-baru ini, Jeffrydin berkongsi petua menjaga kesihatan mental dan tubuh badan.
“Setiap hari, seawal jam 5:30 pagi atau 6 pagi, saya bangun tidur. Selepas menunaikan solat Subuh, saya berjalan di persekitaran rumah.

“Pada waktu itu, suasana masih sunyi dan orang belum sibuk keluar pergi bekerja. Rutin itu saya lakukan setiap hari.
“Selain itu, saya mengamalkan minum air kosong, elak makanan yang boleh menyejukkan badan dan berminyak serta minum susu segar atau susu tepung sebelum tidur.
“Sejak mengamalkannya, secara automatik saya terjaga dari tidur pada waktu yang sama setiap pagi tanpa perlu dikejut.
“Alhamdulillah, setakat ini kesihatan saya masih baik dan tiada sebarang penyakit kronik,” katanya kepada media.
Menurut Jeffrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman, beliau bersemangat menjaga kesihatan pada usia emas selepas melihat banyak contoh positif di depan mata.
“Saya pernah menonton sebuah rancangan dokumentari yang memaparkan seorang lelaki berusia 100 tahun yang masih ampuh staminanya.
“Pada usia itu, dia masih mampu berlari sejauh 100 meter. Saya catat segala yang dikongsikan dalam program itu sebagai rujukan dan panduan.
“Faktor lain yang membuatkan saya bersemangat adalah selepas melihat ada antara ahli keluarga saya mempunyai usia yang panjang. Nenek saya mampu mencapai usia sehingga 120 tahun sebelum meninggal dunia.
“Datuk saya yang dipanggil Wak pula bertahan sehingga 89 tahun. Bapa saya pula meninggal dunia ketika berumur 83 tahun,” cerita penyanyi yang pernah beraksi bersama kumpulan The Siglap Five ini.
Untuk program Immortal Songs yang bakal disiarkan TV3, Ahad ini, Jeffrydin menjadi antara tujuh karyawan legenda yang lagunya terpilih untuk dinyanyikan dan digubah semula oleh peserta merangkumi penyanyi muda.
Mengulas lanjut, Jeffrydin mengaku tidak mempunyai masalah dengan format program itu. Namun, beliau tidak mahu lagu malar segar diubah hingga hilang keaslian dan keunikannya.
“Saya pernah mendengar lagu saya dimainkan dalam versi rock. Namun, gubahannya dibuat secara keterlaluan hingga hilang keaslian dan patah lagunya.
“Untuk program ini, saya membenarkan produksi menggubah muziknya mengikut kesesuaian peserta. Tetapi syaratnya janganlah sampai keunikannya hilang.
“Peserta boleh menyanyi mengikut gaya mereka yang tersendiri. Namun, pastikan keaslian dan patah lagu berkenaan dijaga. Jangan sampai orang yang mendengar lagu terbabit tidak tahu lagu asalnya,” ujarnya. – Agensi