Pernah menjalani hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah jenis ganja, pelakon Jefri Nichol akui ia satu pengalaman yang membuatkan dirinya kini lebih bahagia.
Disebabkan kesalahan yang dia lakukan sebelum ini, Jefri tidak lagi perlu berselindung di sebalik imej seorang lelaki baik yang sering diharapkan oleh peminatnya.
Sepanjang berada dalam tahanan, pelakon filem Jakarta vs Everybody ini menjadi lebih tenang dan banyak meluangkan masa membaca buku.
“Selepas keluar penjara saya tidak lagi terbeban dengan imej yang baik-baik.
“Sebelum itu ada tekanan untuk saya berhati-hati supaya orang lain tidak kecewa,” ujarnya.
“Sekarang jika saya buat perkara sama lagi, orang tidak akan terkejut.
“Tempoh dalam penjara sangat berat. Tetapi banyak masa untuk saya bersendirian, tenang dan membaca buku. Setelah keluar saya tidak terbeban lagi,” katanya dalam temu bual di saluran YouTube milik Vidi Aldiano.
Sebelum ini, Jefri ditahan di kediamannya di Jakarta Selatan pada Julai 2019 dan dia dikenakan hukuman sebulan penjara serta empat bulan pemulihan. – Agensi
