Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jejak majie: Warisan wanita bujang Cina di Pulau Pinang

    Terpisah sejauh 3,400 kilometer antara Guangdong di China dan George Town di Pulau Pinang, namun semasa awal 1900an, sekumpulan wanita bujang dari wilayah China membuat perjalanan ke Malaya dan Singapura demi mencari pekerjaan dan mencari kehidupan yang lebih baik.

    Dikenali sebagai majie, mereka mengangkat sumpah bujang seumur hidup dalam upacara menyikat rambut ke sanggul simbolik pilihan untuk tidak berkahwin, berbeza dengan tocang panjang yang lazim dipakai wanita bujang tradisional.

    Seabad kemudian, artis dan penyelidik dari Guangdong, Chen Jialu, menelusuri semula jejak kumpulan wanita luar biasa itu dari tenggara China ke Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka dan akhirnya Singapura untuk mengungkap kehidupan, impian dan warisan mereka.

    DI LUAR SISTEM PATRIARKI

    Guangdong ialah wilayah pesisir yang padat penduduknya dan bersempadan dengan Hong Kong dan Macau. Bandarnya terletak dalam Delta Sungai Mutiara, kawasan bandar yang luas meliputi sembilan wilayah dan merupakan tempat asal Chen.

    “Saya dibesarkan dalam keluarga tradisional, jadi saya faham konsep bagaimana wanita tidak boleh memiliki tanah atau mewarisinya. Sudah tentu kini banyak perkara berubah,” kata Chen, 32 tahun, dalam satu temu bual di George Town.

    Pakaian dan aksesori yang pernah dipakai oleh majie suatu ketika dahulu, dipamerkan bersama replika kapas lut sinar untuk disentuh dan diteroka pengunjung. – ANN/The Star
    Pengunjung di pameran majie yang berlangsung di Soon Tuck Wooi Koon di Love Lane, George Town, Pulau Pinang. – ANN/The Star
    Bengkel bertajuk ‘What Happens After Leaving’ yang dikendalikan oleh Chen (berdiri, kiri), diadakan semasa pameran. – ANN/The Star
    Foto berkumpulan penghuni rumah persaudaraan yang diselamatkan dari sebuah gupouk (rumah komuniti) di Lorong Pasar, George Town, Pulau Pinang. – ANN/The Star
    Rekod keahlian dari Persatuan Penduduk Sai Chiew di Singapura. – ANN/The Star

    “Tapi masih ada perkara yang tidak banyak berubah.”

    Seperti tamadun purba lain, akar patriarki di China terus mempengaruhi jurang jantina. Chen berkelulusan Chelsea College of Arts, London sudah lama tertarik kepada isu jantina dan pembentukan jaringan sesama wanita.

    “Saya bayangkan bagaimana kita sebagai wanita boleh membina jaringan sendiri. Saya juga banyak menumpukan kepada idea pemilikan tanah.

    “Tanah bukan sekadar harta atau wang, ia hubungan antara ‘saya’ dan dunia. Ia membawa erti bahawa kita boleh memiliki rumah sendiri, sumber untuk berkarya,” katanya.

    INDUSTRI SUTERA DAN KEBEBASAN

    Pemilikan tanah dan kebebasan kewangan dalam kalangan wanita amat jarang di China dahulu, tetapi kemunculan industri sutera di Guangdong mencipta peluang luar biasa.

    Cuaca, tanah subur dan banjir kerap mendorong penanaman pokok mulberi dan penternakan ulat sutera. Kemahiran dan kesabaran yang diperlukan dalam penghasilan kain halus ini menyebabkan kerja ini diserahkan kepada wanita, yang menerima upah secara langsung.

    Dengan pendapatan sendiri, ramai wanita tidak melihat perkahwinan sebagai satu keperluan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang menempatkan suami sebagai ketua mutlak.

    “Di Kanton, kami sudah biasa dengan adat perkahwinan luar biasa. Misalnya, ada kontrak ‘perkahwinan tertangguh’ di mana isteri tidak perlu tinggal dengan suami selama tiga tahun pertama,” kata Chen.

    “Kami juga pernah dengar kisah ‘kahwin dengan hantu’ hanya untuk mendapat status wanita berkahwin.”

    Cerita rakyat juga banyak, termasuk legenda ‘Tujuh Saudari’ dari Hong Kong, tentang tujuh gadis yang bersumpah untuk tidak berkahwin dan akhirnya bunuh diri bersama apabila salah seorang dipaksa berkahwin.

    “Selepas mereka terjun ke laut, tujuh batu besar muncul di tempat mereka mati,” kata Chen. “Cerita seperti ini banyak di tempat saya.”

    MENYIKAT RAMBUT, MEMILIH JALAN SENDIRI

    Industri sutera berkait rapat dengan kemunculan majie atau ‘kakak bersanggul’ merupakan kumpulan wanita yang menjalani upacara simbolik menyikat rambut untuk menyatakan sumpah bujang.

    Ia membuka jalan kepada kebebasan ekonomi, mengelak tekanan keluarga, dan membolehkan mereka menyara keluarga sendiri. Chen menekankan keputusan untuk menjadi majie tidak semestinya semata-mata kerana feminisme.

    “Masyarakat banyak beri label seperti pejuang atau feminis kepada mereka, tapi saya rasa mereka hadapi pelbagai dilema. Cerita mereka ialah bukti bagaimana orang biasa memilih jalan sendiri dalam hidup,” katanya.

    Namun, menjadi majie bermaksud hidup dalam kesunyian. Jika melanggar sumpah, hukuman berat menanti. Mereka tidak boleh mati di rumah keluarga atau mempunyai tablet roh di altar keluarga. Sebagai tindak balas, mereka membentuk komuniti sesama sendiri dalam gupouk, rumah komuniti wanita.

    DUNIA BARU DI ASIA TENGGARA

    Nasib mereka berubah dengan perindustrian. “Sekitar 1920an, industri sutera berpindah ke Jepun dan tempat lain. Orang mula membeli kain buatan mesin,” kata Chen.

    Keperluan pembantu rumah di Asia Tenggara yang dijajah mendorong majie mencari pekerjaan di luar negara. Laluan perdagangan yang sedia ada memudahkan perjalanan ke Hong Kong, Tanah Melayu dan Singapura.

    Apabila Chen mula menyelidik sekitar tahun 2020, dia menemui banyak gupouk di George Town. Pada 2023, semasa menghadiri Kuala Lumpur Art Book Fair, dia melanjutkan perjalanan ke Pulau Pinang untuk mencari waris majie, majikan mereka dan anak angkat.

    Dia kemudian menerima geran penyelidikan dari Asian Cultural Council Hong Kong pada 2024.

    Bermula Ogos 2023, beliau mengunjungi tapak-tapak berkaitan majie di Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura. Namun, kerana ramai majie buta huruf dan tidak memiliki anak, usaha mengumpul sejarah mereka menjadi cabaran besar.

    “Kami tahu lebih daripada 10 rumah persaudaraan majie di George Town di Love Lane, Jalan Muntri dan Pintal Tali,” kata Chen, sambil menambah semua majie kini telah pulang ke China atau meninggal dunia.

    “Biasanya mereka tinggal di rumah majikan, tapi pada waktu lapang mereka akan ke rumah persaudaraan untuk berbual, mencuci rambut atau membuat kerja peribadi,” jelasnya.

    Banyak persatuan berasaskan kampung dan klan Cina dahulu turut disertai oleh majie. “Saya tidak pernah jumpa penulisan tentang peranan mereka dalam persatuan, jadi penemuan ini amat berharga,” katanya.

    WARISAN GUPOUK

    Pada Mac lalu, Chen berganding bahu dengan aktivis budaya Chan Lean Heng dan pendidik-usahawan S. Soonufat untuk melancarkan siri Remembering And Celebrating The Lives And Contributions Of Majies di George Town.

    Program selama tiga bulan itu menampilkan lapan acara termasuk pameran pertama Chen bertajuk Majie – Mama and Sister, Gupo – Aunt and Grandma, Comb Peace Comb Safe yang berlangsung di Soon Tuck Wooi Koon, sebuah rumah suku bersejarah.

    Antara tarikan utama ialah foto berkumpulan dari gupouk di Lorong Pasar yang memaparkan lebih 181 majie, diselamatkan oleh pejuang warisan tempatan Khoo Salma yang dibesarkan oleh seorang majie.

    Turut dipamerkan ialah rekod keahlian dari Persatuan Penduduk Sai Chiew di Singapura, yang menunjukkan ramai ahli wanita berdaftar sebagai pembantu rumah dengan gaya rambut dan pakaian serupa, serta alamat yang sama.

    Pameran ini turut menayangkan dua video: dokumentari pendek A Day Of Gupo yang menampilkan wawancara dengan majie Li Gu, 93 tahun, dari Panyu, China dan satu lagi tentang Lee Wing Kong dari Pintal Tali, Pulau Pinang yang pernah membantu menulis surat untuk dihantar pulang ke tanah air.

    “Sepanjang penyelidikan, saya bertemu ramai individu berkait dengan majie, semuanya penyayang dan terbuka. Saya harap pameran ini menjadi pengenalan kepada lebih ramai orang untuk meneliti semula memori mereka tentang majie,” kata Chen. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda