Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas seorang lelaki warga tempatan atas kesalahan berkaitan curi.
Haji Mohammad Amirnuddin bin Haji Abdul Momin telah melakukan kesalahan itu bersama enam rakan lain yang mana kes-kes berkenaan dikendalikan oleh mahkamah secara berasingan.
Hakim Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah dimaklumkan oleh Pendakwa Raya Syazwani binti Jumat bahawa defendan telah mencuri 15 keping aram-aram (scaffolding) di Kawasan Perindustrian Lambak Kanan pada Februari lalu.
Defendan juga telah mencuri kabel tembaga dari kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan antara Februari dan Mac hingga menyebabkan gangguan kepada penyedia perkhidmatan utama.
Manakala pada 27 Mac selepas tengah malam, defendan bersama rakan-rakannya pergi ke kawasan hutan di RPN Lambak Kanan di mana mereka telah mencuri kabel tembaga.
Pada kejadian itu, defendan dan rakannya telah pergi mendapatkan minuman ketika rakan-rakannya memotong kabel di kawasan itu.
Setelah kembali, mereka mendapati kabel telah siap dipotong dan membawa guni yang telah berisi dengan kabel tembaga ke salah sebuah rumah mereka.
Kumpulan itu kemudiannya berpisah, manakala defendan dan dua lagi rakan berjalan
menuju ke sebuah rumah di kawasan sama.
Bagaimanapun, sebaik sahaja defendan dan rakan melalui jalan berhampiran rumah di RPN Lambak Kanan, mereka ternampak salah seorang rakan mereka menaiki kereta dan melambai ke arah mereka.
Namun sebaik sahaja kereta itu menghampiri defendan dan rakannya, mereka menyedari bahawa rakannya bersama dengan sekumpulan anggota polis yang kemudian bertindak menahan kedua-duanya dan rakan lain. Siasatan polis membawa kepada kecurian aram-aram.


