Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jelajah Kerjaya tawar peluang pekerjaan

    Oleh Sim Y. H. –

    TUTONG, 7 OKT – Pencari-pencari kerja khususnya mereka di Daerah Tutong tidak melepaskan peluang untuk berkunjung dan mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh para pempamer semasa Jelajah Kerjaya 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Serambangun, Daerah Tutong bermula hari ini hingga 8 Oktober.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pemangku Penolong Pengarah, Bahagian Operasi dan Pembangunan Bakat, Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Awang Mohammad Redzuan bin Meludin selaku Ketua Sekretariat I, Jelajah Kerjaya 2025 menyatakan Daerah Tutong merupakan daerah kedua bagi Jelajah Kerjaya 2025 di mana acara berkenaan telah diadakan di Daerah Belait pada minggu lalu.

    Beliau menyatakan bahawa Jelajah Kerjaya di Daerah Tutong menyaksikan penyertaan 18 pempamer iaitu tujuh daripada sektor awam dan 11 daripada sektor swasta.

    Acara itu bermatlamat menghubungkan pencari-pencari kerja tempatan dengan pelbagai syarikat yang menawarkan pekerjaan, menyediakan peluang bagi mereka untuk memohon dan menghadiri temu duga secara langsung.

    Di samping itu, beliau menyatakan mereka juga ingin meningkatkan kesedaran tentang bagaimana agensi-agensi kerajaan dapat membantu warga Brunei dari segi kebolehkerjaan dan kebolehpasaran.

    Antara yang mengunjungi Jelajah Kerjaya 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Serambangun, Daerah Tutong. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Beliau menerangkan bagi Daerah Tutong, taklimat turut diadakan mengenai peluang-peluang pekerjaan sebagai Ketua Kampung dan Penghulu serta juga peluang keusahawanan dalam pertanian.

    Jelajah Kerjaya 2025 yang diadakan oleh PPB di bawah Jabatan Perdana Menteri merupakan kali kedua diadakan di mana ia berlangsung di keempat-empat daerah bermula 2 hingga 18 Oktober.

    Jelajah Kerjaya telah diadakan di Daerah Belait pada 2 hingga 4 Oktober dan kini, di Daerah Tutong bermula 7 hingga 8 Oktober. Jelajah Kerjaya 2025 akan diadakan di Daerah Temburong di Dewan Kemasyarakatan Belalong pada 11 Oktober.

    Manakala itu, acara kemuncak akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara selama empat hari di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong bermula 16 hingga 19 Oktober.

    Kesemua acara berkenaan berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali pada Jumaat di mana ia akan ditutup pada pukul 11:30 pagi hingga pukul 2:30 petang.

    Jelajah Kerjaya itu menyaksikan penglibatan lebih 100 pempamer yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta di mana terdapat lebih 1,600 peluang pekerjaan ditawarkan oleh syarikat swasta kepada para pencari kerja tempatan dalam pelbagai industri termasuk peruncitan, makanan dan minuman, IT dan pembinaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda