Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jelajah Perak teguhkan perpaduan penggiat seni

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia

    Bak kata pepatah ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’, itulah yang dapat digambarkan dari kaca mata penggiat seni tanah air yang sentiasa ‘hidup’ di mana pun mereka melangkah untuk mencari-cari sumber ilham demi mencurahkan ‘nyawa’ pada setiap sentuhan karya yang dihasilkan.

    Bersatunya insan-insan seni ini membawa nama negara menonjolkan bakat dan kemahiran anugerah Ilahi bersama rakan-rakan seperjuangan dari negara-negara lain pastinya membawa kenangan manis yang sukar dilupakan.

    Begitulah semangat yang dirasai oleh tujuh orang penggiat seni lukis tanah air apabila berpeluang menyertai Pameran Seni Jelajah Perak dan Antarabangsa menerusi PIOR Perak Jerayawara Art Trail 2022 anjuran Persatuan Pelukis Perak dengan kerjasama Tourism Perak Malaysia yang berlangsung di tiga lokasi utama di Perak iaitu Kuala Kangsar, Ipoh dan Taiping sekitar awal September lalu.

    “Sebagai satu penghormatan bagi diri ini untuk mempamerkan karya saya bersama rakan-rakan artis veteran negara sambil mengembara bersama.

    “Ini merupakan saat yang amat dinanti-nantikan yang sememangnya bagaikan sinar baharu, harapan dan tenaga buat kami semua untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni bersama setelah kita berdepan dengan cabaran pandemik sebelumnya,” antara kata-kata yang disampaikan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku ketua pemimpin seni peserta rombongan Negara Brunei Darussalam semasa berkesempatan ditemui penulis secara maya, baru-baru ini.

    YAM Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia, YAM Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bulqiah bersama Pengiran Abdul Wahab, Pengiran Timbang, Dr Zakaria, Haji Abdul Malek dan Awang Khairol mewakili penggiat seni lukis tanah air ke Program PIOR Perak Jerayawara Art Trail 2022 di tiga lokasi utama di Perak iaitu Kuala Kangsar, Ipoh dan Taiping sekitar awal September lalu.
    Selain pameran seni, pelbagai aktiviti turut mewarnai program berkenaan yang menjurus kepada keunikan dalam usaha mempromosi pertukaran budaya, lawatan tempat-tempat pelancongan bersejarah dan kulinari istimewa di Negeri Perak, seperti melukis mural seni di kafe tempatan, pertandingan seni plein-air, dan juga dialog seni.
    Antara sentuhan karya penggiat seni lukis tanah air yang dipamerkan semasa berlangsungnya Pameran Seni Jelajah Perak dan Antarabangsa sekitar awal September lalu.

    Turut serta mewakili negara ke program berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bulqiah binti DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersama Pengiran Abdul Wahab Hassan Al-Abbas, Pengiran Timbang bin Pengiran Haji Tuah, Dr Zakaria bin Haji Abdul Hamid, Haji Abdul Malek @ Haji Abdul Rahman bin Haji Metarsat dan Awang Khairol Sharifkhan Khalidkhan.

    Program yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara berkenaan turut dimeriahkan oleh penglibatan gabungan seramai 24 orang penggiat seni dari negara Indonesia, Mauritius, Filipina, Singapura dan Vietnam.

    Selain pameran seni, pelbagai aktiviti turut mewarnai program berkenaan yang menjurus kepada keunikan dalam usaha mempromosi pertukaran budaya, lawatan tempat-tempat pelancongan bersejarah dan kulinari istimewa di Negeri Perak, melukis mural seni di kafe tempatan, pertandingan seni plein-air, dan juga dialog seni.

    Dalam pada itu, ke arah untuk menggapai visi menyokong antara satu sama lain dan komited untuk meningkatkan, mengembangkan dan membangunkan senario seni visual setiap negara, YAM Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia turut berkesempatan menandatangani memorandum persefahaman antara ketua pemimpin seni enam negara, Tourism Perak Malaysia dan Persatuan Pelukis Perak.

    Majlis penandatanganan berkenaan telah disaksikan dan disokong oleh Pengerusi, Tourism Perak Management Berhad dan Presiden Alliance of Malaysian Artist Societies Advisor, Persatuan Pelukis Perak, Dato Kamil Dato Shafie; dan Presiden Persatuan Pelukis Perak, Dato Dr Ahmad Lothfi bin Ibrahim.

    Inisiatif penandatanganan berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan menyediakan pelbagai program seni, simposium, bengkel, dialog, perkhemahan dan pameran pada masa akan datang.

    Tambah Yang Amat Mulia, pengalaman manis begitu terserlah di mana bukan hanya berpeluang melancong semata-mata bahkan mereka dapat menimba pengetahuan bersama rakan-rakan baharu dalam kalangan penggiat seni di samping meneroka tempat-tempat menarik.

    “Segalanya memberi peluang kepada kami untuk berkembang sekali gus sebagai sumber inspirasi dan tenaga untuk mencipta lebih banyak lagi karya-karya seterusnya.

    “Dengan adanya peluang sebegini, adalah menjadi harapan saya dan semuanya untuk membina asas yang kukuh suatu hari nanti sehingga dapat menarik lebih ramai penggiat seni tempatan tampil bersama-sama mewarnai industri kreatif seni ini.

    “Apa yang pastinya ‘the life that you live, truly informs the art that you create!’,” ujar Yang Amat Mulia semasa mengakhiri pertemuan dalam talian bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...