Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah diseru persiap rohani, jasmani

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Seramai 11 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang akan menunaikan fardu haji bagi tahun 1446H/2025M, telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat bagi pegawai dan kakita-ngan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Serba Guna, Tingkat 6, Bangunan KHEDN, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk Keistimewaan Bulan Zulhijjah: Bulan Ibadah disampaikan oleh penceramah jemputan, Penolong Ra’es (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Haji Muhammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk.

    Dalam ceramah, beliau antara lain menggariskan tentang keistimewaan yang dikurniakan kepada para tetamu Allah SWT serta amalan-amalan yang wajar diamalkan oleh kalangan mereka yang tidak mengerjakan haji, agar turut meraih ganjaran kebaikan yang setimpal dengan mereka yang menunaikan ibadah haji.

    Ceramah turut menekankan keutamaan 10 hari pertama di bulan Zulhijjah sebagai waktu terbaik beribadah, termasuk berpuasa, berzikir, ibadah korban dan amal soleh. Ibadah haji turut ditekankan sebagai kemuncak pengorbanan.

    Sementara itu, para jemaah diseru untuk mempersiapkan rohani dan jasmani serta mengamalkan nilai tawakal, sabar, bersangka baik dan bersedekah.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan. Turut hadir di majlis tersebut, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji pada majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna, Tingkat 6, Bangunan KHEDN, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEDN
    GAMBAR SERAHAN KHEDN
    Antara yang hadir pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN KHEDN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda