BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Para jemaah haji Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) baru-baru ini dijadualkan bertolak ke Mina bagi meneruskan ibadah haji yang merupakan antara rukun wajib, iaitu bermalam (mabit) di Mina dan melaksanakan ibadah melontar jamrah.
Sepanjang tempoh tiga hari dua malam di Mina, para jemaah mengikuti atur cara yang telah disusun di mana pada hari pertama mereka telah melontar Jamrah Aqabah sahaja.
Manakala, pada hari kedua dan ketiga para jemaah haji melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqabah sebelum mereka kembali semula ke Mekah.
DSSB telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan jemaah sepanjang berada di Mina. Pegawai-pegawai DSSB turut bersama-sama mengiringi dan memantau keadaan jemaah bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
Pengarah Urusan DSSB menegaskan komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah agar ibadah haji dapat ditunaikan dalam suasana yang selesa dan selamat.





