MINA, 20 JULAI – Jemaah haji melontar jamrah semalam, peringkat akhir rukun Islam kelima itu, di bawah langkah keselamatan ketat yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.
Sekitar 60,000 orang jemaah, pada hari pertama di Mina, menyempurnakan ibadah itu dengan mengikut prosedur ditetapkan, antaranya hanya boleh melontar jamrah di lokasi yang ditetapkan.
Dengan memakai penutup mulut dan hidung, jemaah melontar tujuh batu kerikil yang disanitasi, diambil daripada beg bertutup yang disediakan oleh pihak berkuasa.
Disebabkan pandemik COVID-19, tahun ini pihak berkuasa Arab Saudi hanya membenarkan 60,000 jemaah yang sudah divaksin sepenuhnya, berbanding 10,000 jemaah tahun lalu.
Sekumpulan kecil jemaah bergerak ke Mina berdekatan Mekah, di barat Arab Saudi untuk menyempurnakan ibadah yang menjadi simbol ‘melawan iblis’ di Masjid Jamrah al-Aqaba.
Pada tahun-tahun sebelumnya, paling banyak kemalangan dilaporkan berlaku ketika melontar jamrah kerana jutaan orang terpaksa berasak-asak dalam ruang sempit bagi menunaikan ibadah itu.
Sesudah menyelesaikan ibadah melontar jamrah selama tiga hari, jemaah akan pulang ke Masjidil Haram di Mekah bagi melakukan tawaf, sekali gus bermakna berakhirnya ibadah haji pada tahun ini.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq Al Rabiah berkata pihaknya sejak awal lagi memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan jemaah.
“Kami memantau keadaan secara berterusan dan setakat ini, tiada kes berkaitan COVID-19 dikesan dalam kalangan jemaah,” katanya kepada AFP. – AFP
