MEKAH AL-MUKARRAMAH, ARAB SAUDI, 26 MEI – Seramai 291 orang jemaah daripada pakej Delima dan Fairuz telah selamat bertolak ke Mekah Al-Mukarramah menaiki lapan buah bas, yang mula bertolak dari Hotel Maden Al Rawdah, Madinah sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.
Perjalanan mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam, dimulakan dengan persinggahan di Masjid Zul Hulaifah (Bir Ali) bagi tujuan miqat. Di sini, para jemaah melafazkan niat umrah dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Mekah dengan iringan laungan talbiah, menandakan permulaan ibadah umrah mereka.
Operasi pergerakan ini telah dilaksanakan dengan kerjasama erat antara petugas pengiring haji Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, memastikan kelancaran dan ketertiban sepanjang perjalanan.
Pada malam sebelum keberangkatan, para jemaah telah diberi peluang untuk menunaikan ziarah wada’ di Makam Rasulullah SAW, sebagai tanda perpisahan sementara dengan Kota Madinah, memohon keberkatan serta syafaat Baginda sebelum melangkah ke fasa ibadah berikutnya di Mekah.
Sebagai langkah kawalan musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah telah mengenakan pemeriksaan ketat di setiap lokasi pemeriksaan menuju ke Mekah.
Setiap jemaah diwajibkan memakai Kad Nusuk Haji yang dikeluarkan secara rasmi oleh kementerian, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengurusan lebih teratur di kawasan Masjidilharam.
Sementara itu, rombongan Pakej Zamrud telah dijadualkan bertolak ke Mekah pada 25 Mei, melibatkan lima buah bas yang membawa seramai 215 orang jemaah.
Setibanya di Mekah Al-Mukarramah, para jemaah akan diaturkan mengikut hotel penginapan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan DSSB.
Setelah menerima kad kunci bilik, para jemaah diberikan ruang untuk berehat sebelum memulakan ibadah umrah – tawaf dan sa’ie di Masjidilharam.





