Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Pesawat BI4218 yang membawa seramai 250 orang jemaah haji yang mengikuti pakej Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd bersama tiga orang pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pukul 7:30 pagi hari ini.
Kehadiran keluarga dan sanak-saudara di Ruang Legar Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei memeriahkan kepulangan jemaah haji bagi penerbangan ketiga ini.
Kepulangan para jemaah haji dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berserta isteri dan Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.


Juga hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan isteri; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan isteri; Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri selaku wakil Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri; Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Ali Abdullah A Alshehry selaku wakil Kedutaan Besar Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, para pengarah dan penolong pengarah serta pegawai-pegawai kanan KHEU dan pengarah-pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.
Sejurus ketibaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.