Tuesday, February 11, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah haji selamat tiba di tanah air

    Oleh Ak Zaki Kasharan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Penerbangan kedua yang membawa seramai 250 orang jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah selamat tiba di tanah air pada pukul 8:23 pagi tadi.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) untuk mengalu-alukan kepulangan jemaah haji berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berserta isteri; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berserta isteri.

    Penerbangan kali ini turut membawa pegawai-pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Perubatan, Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), dan Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd.

    Bagi memberkati kepulangan jemaah haji, Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Mufti Ifta, Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya.

    Salah seorang jemaah haji negara yang berasal dari Kampung Bukit Beruang, Hajah Sarimah binti Awang Besar ketika ditemui mengongsikan pengalaman penuh berharga ketika berada di tanah suci semasa mengerjakan rukun Islam kelima.

    “Banyak cabaran yang kami hadapi di sana, tanpa kekuatan mental pasti kami akan mengalami kesukaran semasa mengerjakan ibadah di sana.

    “Segalanya berjalan dengan lancar semasa berada di Arafah, namun apabila kami bergerak bagi mengerjakan tawaf dan saie, ia sangat menguji tahap fizikal dan stamina kami. Walau bagaimanapun kami bersyukur dapat mengerjakan ibadah bersama ahli keluarga di mana kami dapat saling membantu antara satu sama yang lain bagi menyempurnakan ibadah kami di sana,” kongsi Hajah Sarimah lagi.

    Jemaah haji bagi penerbangan kedua bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Sanak saudara dan kaum keluarga menyambut kepulangan jemaah haji yang selamat kembali ke tanah air. – Gambar oleh Rafi Rosli

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda