ARAB SAUDI, 6 JUN – Jemaah haji Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) bersama jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam lainnya kelmarin selesai menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah, salah satu rukun haji dan kemuncak perjalanan ibadah haji.
Dalam suasana cuaca yang cerah dan persekitaran yang teratur, para jemaah melaksanakan ibadah dengan penuh kekhusyukan, memperbanyakkan doa, zikir dan muhasabah diri.
Dalam pada itu, khutbah Arafah khas yang disampaikan oleh Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, yang menyeru para jemaah agar menghayati erti keikhlasan dalam beribadah serta menjadikan pengalaman haji sebagai permulaan memperbaiki diri dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat sekembali ke tanah air.
Beliau turut mengingatkan para jemaah agar sentiasa bersyukur atas kesempatan menjadi tetamu Allah dan berpesan agar nikmat itu diteruskan dengan amalan yang soleh serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat apabila kembali ke Negara Brunei Darussalam.
DSSB dengan kerjasama Jabatan Urusan Haji dan pihak berkuasa tempatan, sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah diutamakan sepanjang berada di tanah suci.
Semoga para jemaah haji Brunei memperoleh haji yang mabrur dan kembali dengan selamat serta membawa keberkatan ibadah ke dalam kehidupan seharian.