Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Dalam usaha memastikan jemaah dan penduduk di Kampung Sungai Akar dan sekitarnya terus dapat mengikuti acara dan program masjid terutamanya mengaji Al-Quran, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah telah melaksanakan
beberapa usaha dan inisiatif termasuk mengaji secara dalam talian.
Usaha berkenaan dilaksanakan untuk memastikan pembelajaran dan aktiviti masjid terus berkembang walaupun ia dilaksanakan dalam keadaan terhad dengan penutupan masjid.
Ke arah menjayakan program yang di buat dalam talian, beberapa platform digunakan supaya mencapai hasrat yang diinginkan seperti panggilan video, Zoom Cloud Meeting, FB live dan sebagainya.
Salah seorang ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan menjelaskan, program #ZoomNgajiQuran diadakan setiap pukul 6 pagi kecuali Jumaat, manakala itu, #ZoomMembacaKahfi diadakan setiap Jumaat selepas solat fardu Subuh dan #ZoomTadarusDrumah dibuat seminggu sekali.
“Dalam usaha memastikan pembacaan yang betul, jemaah yang menyertai program berkenaan di bimbing oleh guru-guru yang mahir Al-Quran dan bertauliah,” jelas beliau.
Dengan inisiatif yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan lagi mutu bacaan jemaah dan kaedah mengaji dalam talian tersebut merupakan satu langkah ke hadapan untuk terus mendekatkan jemaah dengan Al-Quran walau di mana saja berada.
