Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah surau dari Sabah lawat dua masjid

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 20 ahli jemaah Surau Haji Ahmed Pasir Putih, Ulu Sipitang, Sabah telah mengadakan lawatan silaturahim ke dua buah masjid iaitu Masjid Hassanal Bolkiah di Perumahan Mentiri dan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.

    Lawatan yang diketuai oleh Nismah Haji Johar berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan ukhuwah Islamiah serta meningkatkan penghayatan terhadap peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

    Matlamat utama lawatan adalah untuk meninjau pelaksanaan aktiviti masjid, khususnya yang melibatkan penyertaan aktif golongan Muslimah, di samping meneliti kemudahan dan prasarana masjid-masjid di Brunei sebagai rujukan bagi pengimarahan masjid di kawasan mereka.

    Ketibaan rombongan di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah disambut mesra oleh pegawai dan kakitangan masjid sebelum diberi taklimat ringkas mengenai sejarah dan pencapaian aktiviti keagamaan masjid tersebut oleh Imam Haji Kamaluddin bin Haji Abd Rahim, selaku Ketua Imam masjid.

    Para jemaah turut diberi peluang menyaksikan pameran berkaitan aktiviti masjid, bergambar ramai dan menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada pihak pengurusan masjid.

    Program lawatan seumpama ini diyakini dapat menjadi platform pertukaran pengalaman dan amalan terbaik antara institusi masjid, di samping memperkasakan lagi peranan wanita dalam pengimarahan rumah Allah serta mengeratkan hubungan serantau dalam semangat ukhuwah Islamiah.

    Sesi bergambar ramai semasa lawatan berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda