Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Jemaah tadarus Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin, telah mengadakan majlis khatam Al-Quran sebagai tanda kesyukuran setelah menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran selepas sembahyang fardu Subuh berjemaah.
Majlis berkenaan disertai oleh 12 orang ahli yang dilihat sebagai pendorong kepada jemaah lain untuk sama-sama membaca Al-Quran secara istiqomah ke arah merebut pahala yang berlipat ganda.
Ketua Setiausaha Ahli Tak-mir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit melahirkan rasa gembira atas usaha berterusan ahli mengekalkan aktiviti yang sangat bermanfaat itu.
“Kita semua perlu bersyukur atas rahmat yang dilimpahkan oleh Allah dan berdoa supaya keberkatan membaca Al-Quran ini juga akan memberikan perlindungan kepada diri, keluarga dan negara daripada segala musibah,” jelasnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim beramai-ramai, bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang diketuai oleh bilal masjid, Awang Abdul Wafi bin Ismail yang juga membaca Tahtim, Doa Khatam dan Doa Selamat.
