Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Suasana Syawal terus disemarakkan dengan penuh makna menerusi Majlis Khatam Al-Quran yang dikendalikan jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, walaupun bulan Syawal kini berada di penghujungnya.
Majlis yang dianjurkan di masjid berkenaan hari ini, merupakan simbol kesyukuran setelah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran yang juga mencerminkan semangat ukhuwah dan keimanan yang utuh dalam kalangan masyarakat kampung.
Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit yang juga Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar melahirkan rasa bersyukur kerana dapat mengadakan majlis khatam tersebut dalam suasana Syawal yang masih dirayakan.
Katanya, “Walaupun sudah berada di penghujung bulan kemenangan umat Islam, namun keberkatan majlis ini menjadi wadah untuk sama-sama menzahirkan rasa syukur.”
Selain itu, beliau turut menyatakan keyakinannya kesatuan jemaah masjid akan terus memperkukuhkan usaha-usaha kebajikan dan keagamaan, sekali gus menyumbang kepada keharmonian serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang turut memimpin bacaan takhtim dan Doa Khatam.
Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhd Hazman Haji Mohd Hairol Azme menyempurnakan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Tahlil.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jemaah Tadarus Subuh Masjid Sungai Besar, yang menyasarkan untuk mengkhatamkan Al-Quran sebulan sekali sebagai langkah berterusan dalam memakmurkan masjid dan mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran.