NEW YORK, 28 APRIL – Data Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan jenayah kebencian yang dilaporkan meningkat semasa pilihan raya presiden merupakan “corak yang tidak dapat disangkal”, lapor Xinhua yang memetik USA Today baru-baru ini.
Menurut laporan Dana Pendidikan Persidangan Kepimpinan, kumpulan hak sivil kebangsaan, data sejak 2008 menunjukkan peningkatan kadar jenayah kebencian terhadap kumpulan kaum ketika pilihan raya umum.
Menurut laporan itu, sejak 2015 jenayah kebencian meningkat pada kadar yang mengejutkan iaitu lebih daripada 80 peratus, dengan 2021 mencatat jumlah jenayah kebencian tertinggi dilaporkan dalam rekod sejak FBI mula menerbitkan data pada 1991.
Pengarang laporan itu memberi amaran keras bahawa ‘terdapat sedikit (jika ada) tanda bahawa ketegangan akan berkurangan.’
Laporan itu menyebut pada 2023, Amerika Syarikat ‘terbuka luas kepada peluang’ peningkatan jenayah kebencian diteruskan pada pilihan raya 2024 yang bakal menyaksikan Donald Trump bertanding semula sebagai presiden. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P12-3a-web-JENAYAH_29032023.jpg)