Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Usaha-usaha negara dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, khasnya berkaitan pengganasan dan ekstremisme, jenayah siber, dan pendekatan toleransi sifar terhadap pengedaran dan penyalahgunaan dadah haram telah diketengahkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan (AMMTC) ke-17.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN) dalam kenyataan negara semasa sidang pleno turut mengongsikan mengenai pencapaian signifikan dan cabaran dalam menangani pemerdagangan orang.
Beliau turut menekankan, Negara Brunei Darussalam akan terus mengukuhkan dan melaksanakan inisiatif yang sedia ada dalam membanteras pemerdagangan orang dengan memfokuskan kepada konteks negara dan dengan sokongan daripada ASEAN.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan negara-negara ahli ASEAN bagi mengatasi sebarang cabaran berkaitan jenayah rentas sempadan dalam memastikan ASEAN sentiasa aman, selamat dan makmur yang mana ianya adalah sesuai dengan tema Indonesia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini iaitu ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.
AMMTC ke-17 berlangsung di Labuan Bajo, Republik Indonesia dari 20 Ogos lalu hingga hari ini.
Semasa sesi konsultasi bersama dengan rakan-rakan dialog yang terdiri daripada Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea, Yang Berhormat Pehin turut memberikan kenyataan mengenai kepentingan usaha kolektif dalam memerangi jenayah merentas sempadan terutamanya online scam, keselamatan maritim, kecerdasan buatan dan pemerdagangan orang.


