JAKARTA, 2 JUN – Indonesia berduka, menjelang beberapa hari sambutan Aidilfitri, meratapi pemergian bekas wanita pertama, Ani Yudhoyono, isteri kepada Presiden ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).
Jenazah Ani Yudhoyono, 66, disemadikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama, Kalibata, jam 2.55 petang waktu Indonesia Barat (WIB), dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan, yang dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), bekas presiden ketiga, BJ Habibie dan bekas presiden kelima, Megawati Soekarnoputri.
Allahyarham, yang pernah menerima penganugerahan tertinggi negara Indonesia iaitu Bintang Jasa Adipradana pada 2011 atas jasanya sebagai wanita pertama Indonesia, diberikan penghormatan terakhir, dengan istiadat pemakaman ketenteraan itu turut disiarkan secara langsung televisyen tempatan.
Allahyarham Ani Yudhoyono menghembus nafas terakhir jam 11.50 pagi semalam, di National University Hospital Singapura, selepas menjalani rawatan kanser darah sejak Februari lepas.
Jenazah dibawa pulang malam tadi menggunakan pesawat tentera Indonesia ke Jakarta, sebelum dibawa ke Puri Cikeas, Bogor, kediaman bekas presiden bagi tempoh 2004 hingga 2014 itu kira-kira 11 malam WIB. – Bernama
