Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenazah dua beradik lemas selamat dikebumikan

    KOTA TINGGI, 2 MEI – Jenazah dua beradik perempuan yang lemas di Pantai Awam Tanjung Buloh, Kuala Sedili semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Jalan Lombong, pagi ini.

    Jenazah Siti Rabiah Johari, 13, dan adiknya, Siti Nursalina, 10, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 11:15 pagi tadi.

    Terdahulu, jenazah dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), sebelum disembahyangkan di Masjid An Nur Kampung Batu Ampat di sini dan diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta kenalan.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilaporkan berkata kegembiraan enam sekeluarga bermandi-manda di Pantai Awam Tanjung Buloh sempena cuti umum Hari Pekerja bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas oleh orang awam, petang semalam.

    Hussin dipetik berkata mayat Siti Rabiah ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan pada 4 petang, manakala mayat Siti Nursalina dijumpai 15 minit kemudian pada jarak 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda