Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenazah isteri Premier Sarawak selamat dikebumikan

    KUCHING, 23 JUN – Jenazah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya di sini pada 1:52 tengah hari ini.

    Terdahulu, jenazah Juma’ani disolatkan di Masjid Jamek Negeri dipimpin Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan dihadiri ahli keluarga, pemimpin negeri dan persekutuan serta orang ramai.

    Sejurus selesai disolatkan, jenazah Juma’ani dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini untuk dikebumikan.

    Turut mengiringi jenazah, Abang Johari bersama dua anaknya, Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan, cucu serta ahli keluarga terdekat.

    Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di Masjid Jamek Negeri ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, ketiga-tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta barisan wakil rakyat Sarawak.

    Juma’ani, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada 3:34 pagi tadi.

    Allahyarham merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak kedua, Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.

    Beliau dikenang sebagai seorang tokoh wanita yang berdedikasi, rendah hati dan banyak menyumbang dalam kerja kebajikan serta kemasyarakatan di Bumi Kenyalang. – Bernama

    Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan orang ramai menunaikan solat jenazah ke atas isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang di Masjid Jamek Negeri kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda