KOTA KINABALU, 21 MEI – Jenazah Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan, Tun Ahmadshah Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut di sini pada 2:30 petang, hari ini.
Jenazah Allahyarham Ahmadshah sebelum itu dibawa ke Masjid Negeri kira-kira 10:30 pagi untuk disolatkan dan diberi penghormatan terakhir.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hadir memberi penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar di masjid itu.
Selain Juhar dan Hajiji, solat jenazah turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, pemimpin negeri, waris, ahli keluarga dan kenalan.
Ahmadshah, 78, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 8:45 malam kelmarin dan berita mengenai pemergian beliau telah disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam pada 9 Disember 1946, meninggalkan empat orang anak. Manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar telah meninggal dunia pada 2020.
Ahmadshah mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan pada 1 Jan 2003 dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyambung khidmat untuk penggal kedua bermula 1 Januari 2007 hingga 31 Disember 2010. – Bernama
