Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JENDELA fasa satu pacu aspirasi Sarawak

    SIBU, 14 MAC – Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) di Sarawak dapat memacu aspirasi kerajaan ne-geri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.

    Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak Adiman Ajem berkata beberapa perancangan strategik kerajaan negeri seperti pelan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ialah pemangkin kejayaan itu.

    Oleh itu, beliau berkata adalah penting penyediaan infrastruktur digital yang meluas dan berkualiti dalam menyokong inisiatif itu yang dipacu kerajaan negeri terutama dalam pelaksanaan inisiatif ekonomi digital seperti aplikasi e-wallet SpayGlobal (Sarawak Pay) dan Kuching Smart City.

    “Penting untuk kita menyediakan rangkaian internet dengan liputan dan kualiti kelajuannya sesuai bagi kegunaan rakyat,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di tapak menara telekomunikasi Simpang Ulu Bayan di Mukah, kira-kira 180 kilometer dari pekan Sibu, di sini baru-baru ini.

    Kerajaan Persekutuan pada November 2021 mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.09 bilion kepada Sarawak untuk melaksanakan inisiatif JENDELA fasa satu sebagai usaha memperluas dan menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan sebagai persediaan peralihan kepada teknologi 5G.

    Adiman berkata JENDELA fasa satu melibatkan empat komponen utama iaitu perluasan liputan gentian optik ke premis, pembinaan menara 4G baharu, naik taraf stesen pemancar ke teknologi 4G dan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit. – Bernama

    Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak, Adiman Ajem (kiri) dan Ketua Perancangan Rangkaian Celcom Sarawak, John Micheal Anak Jaom melakukan tinjauan di tapak menara telekomunikasi Simpang Ulu Bayan di Mukah yang terletak kira-kira 180 kilometer dari pekan Sibu baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda