Thursday, July 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenis darah baharu ‘Gwada negatif’ ditemui

    BASSE-TERRE, 22 JUN – Seorang wanita Perancis dari pulau Caribbean, Guadeloupe, telah dikenal pasti sebagai satu-satunya individu yang diketahui memiliki sejenis darah baharu yang dinamakan ‘Gwada negatif’, menurut agensi bekalan darah Perancis.

    Pengumuman itu dibuat 15 tahun selepas penyelidik menerima sampel darah daripada seorang pesakit yang menjalani ujian rutin sebelum pembedahan, kata Etablissement Français du Sang (EFS) pada Jumaat lalu.

    “EFS baru sahaja menemui sistem kumpulan darah ke-48 di dunia!” kata agensi itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial LinkedIn.

    “Penemuan ini telah diiktiraf secara rasmi pada awal Jun di Milan oleh Persatuan Pemindahan Darah Antarabangsa (ISBT).”

    Persatuan saintifik itu sebelum ini hanya mengiktiraf 47 sistem kumpulan darah.

    Gambar Freepik

    Thierry Peyrard, seorang ahli biologi perubatan di EFS yang terlibat dalam penemuan tersebut, memberitahu agensi berita AFP bahawa satu antibodi yang amat luar biasa telah dikesan dalam darah pesakit pada tahun 2011.

    Namun begitu, kekurangan sumber ketika itu menghalang penyelidikan lanjut, tambahnya.

    Akhirnya pada tahun 2019, para saintis berjaya merungkai misteri tersebut dengan bantuan teknologi ‘pemeriksaan DNA berkapasiti tinggi’, yang mendedahkan satu mutasi genetik, jelas Peyrard.

    Wanita itu, yang ketika itu berusia 54 tahun dan menetap di Paris, sedang menjalani ujian rutin sebelum pembedahan apabila antibodi tidak dikenali itu dikesan, kata beliau.

    “Dia satu-satunya individu di dunia yang serasi dengan dirinya sendiri,” katanya lagi.

    Peyrard menjelaskan bahawa wanita tersebut mewarisi jenis darah itu daripada ibu dan bapanya, yang masing-masing membawa gen mutasi tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda