Konsep penyediaan makanan yang terdiri daripada bahan-bahan segar dan organik adalah merupakan matlamat dalam permakanan, namun demikian perlunya ada ruang untuk makanan yang ditapai di meja makan.
Penapaian makanan nampaknya kembali menjadi trend dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana restoran moden yang mengutamakan kesihatan menggembar-gemburkan kebaikan minuman seperti kombucha atau bahan-bahan seperti kacang yang ditapai, malahan terdapat bengkel penapaian turut diadakan untuk mereka yang berminat.
Proses penapaian menghasilkan probiotik yang baik untuk kesihatan usus, selain sebagai satu bentuk pengawetan makanan. Berikut adalah beberapa jenis senarai makanan yang lazimnya ditapai:-
YOGURT
Tenusu tetapi bukan tenusu, yogurt pada asasnya adalah susu yang ditapai. Walaupun produk tenusu biasa boleh menyebabkan beberapa alahan, yogurt mengandungi bakteria asid laktik dan tinggi nutrien seperti kalsium, kalium, fosforus, riboflavin dan vitamin B12.
Dikatakan pengambilan yogurt dengan kerap bukan sahaja meningkatkan kesihatan tulang dan gigi, tetapi juga mengurangkan masalah pencernaan.
MISO
Lazimnya ditemui dalam masakan Jepun, miso diperbuat daripada penapaian kacang soya dengan garam dan koji (sejenis kulat).
Digunakan sebagai satu bentuk perasa dalam makanan Jepun, miso biasanya ditemui dalam bentuk pes dan dimasak dalam sup, tetapi ia juga baik sebagai perapan atau salad dressing. Kajian menunjukkan berkemungkinan terdapat manfaat kesihatan seperti risiko strok dan tekanan darah yang lebih rendah. Ia juga merupakan perasa pilihan berbanding garam.
NATTO
Satu lagi bahan Jepun yang dibuat dengan kacang soya yang ditapai, ia biasanya digabungkan dengan perasa lain seperti kicap dan daun bawang, atau dimakan begitu sahaja. Sesetengah orang menyesuaikan makanan ini untuk sarapan pagi sebagai ulam yang dicampur dengan bubur.
Ia mempunyai rasa yang kuat di mana sesetengah orang menyamakan keju busuk, dan merupakan rasa yang diperoleh kerana kacang lengket boleh menjadi agak berlendir dan teksturnya agak sukar untuk dimakan. Ia dipenuhi dengan mikrobiota yang baik untuk usus dan sistem imun, di samping kaya dengan antibodi, vitamin C, dan mineral seperti mangan, zink dan selenium.
KIMCHI
Ruji tradisional Korea biasanya dibuat dengan kubis, terdapat juga banyak versi lain seperti lobak, timun dan kimchi daun bawang. Dikatakan baik untuk menurunkan kolesterol dan gula dalam darah, kimchi boleh dikesan seawal abad ke-7 dalam masakan Korea.
Bahagian yang terbaik ialah ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam, dimasak dalam beberapa cara dalam sup, lempeng, nasi goreng, mi dan juga sandwic, atau ditambah dalam mangkuk nasi untuk menaikkan rasa.
KOMBUCHA
Teh ditapai yang masam dan menjadi lebih bergas dari semasa ke semasa. Kombucha berasal daripada teh hijau atau hitam yang dibiarkan ditapai pertama sekali dengan kultur simbiotik bakteria dan yis (scoby). Ia bermula sebagai teh manis dan perlahan-lahan mengubah komposisinya apabila terjadinya proses di antara bakteria asid laktik, bakteria asid asetik dan yis yang terkandung di dalamnya. Penapaian kedua ialah dengan buah-buahan bagi menyedapkan lagi teh tersebut. Kombucha dikatakan bermanfaat untuk hati dan mereka yang terdedah kepada jangkitan saluran kencing, termasuk pelbagai manfaat lainnya.
TEMPE
Dibuat dengan menambah pemula (acuan hidup) pada kacang soya, awda mendapat tekstur yang cukup padat untuk dipegang dan dipotong, hampir seperti tauhu tetapi lebih padat. Biasa terdapat di Indonesia dan Malaysia, namun hari ini dunia Barat juga semakin berminat disebabakan oleh kebaikannnya. Ia kaya dengan probiotik dan protein, dan kadangkala digunakan sebagai pengganti ‘daging’ dalam makanan vegan. Terdapat banyak cara untuk mempelbagaikan masakan tempe, tetapi cara yang paling popular adalah digoreng dengan ikan bilis, kacang tanah dan sambal. Ia akan bertambah sedap jika dimakan dengan nasi.
SOURDOUGH
Ia mungkin kelihatan seperti trend baharu kerana terdapat begitu banyak pastri masam di pasaran hari ini, daripada sourdough tradisional hinggalah kepada donat masam, croissant dan juga adunan masam. Walau bagaimanapun, sourdough mungkin merupakan salah satu makanan yang ditapai tertua, secara harfiah berusia berabad-abad! Dibuat dengan cara menapai doh dengan bakteria asid laktik dan kultur yis, sourdough biasanya mempunyai rasa masam yang ringan. Secara umumnya lebih mudah dihadam, ia lebih kaya dengan nutrien dan mengandungi kurang gluten berbanding roti biasa.
CUKA EPAL
Bahan ini digembar-gemburkan sebagai ubat bagi pelbagai penyakit dan berguna terutama sekali berkaitan kesihatan, sider epal yang ditapai mengandungi probiotik dan jenis asid tertentu seperti asid asetik yang menyokong fungsi probiotik dan prebiotik dalam usus.
Peminat kecergasan menyarankan mengambil satu sudu cuka apel setiap hari untuk kesihatan. Cara lain untuk menikmati minuman ini termasuk mencairkannya dengan air, mencampurkannya dengan teh, sebagai ramuan salad, atau sebagai pencetus rasa dengan campuran kunyit dan madu. – ANN/The Star