Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenjang Sarus dahulunya diburu, kini jadi sumber ekonomi petani Kemboja

    PHNOM PENH, 22 DIS – Burung Jenjang Sarus (Grus Antigone), yang dahulunya menjadi sasaran pemburu haram, kini memainkan peranan penting dalam ekonomi dan ekologi di Kemboja, khususnya di Kampung Trach, wilayah timur negara itu.

    Burung yang memiliki ketinggian melebihi 1.5 meter, menghadapi ancaman besar akibat urbanisasi pesat, kehilangan habitat, eksploitasi manusia dan pencemaran.

    Namun kini, burung itu menjadi simbol kejayaan pemuliharaan menerusi inisiatif kerjasama dengan petani tempatan di bawah program Crane Rice™.

    Dilancarkan oleh NatureLife Cambodia pada 2021, program itu menawarkan insentif kepada petani untuk melindungi habitat burung Jenjang Sarus.

    Petani membenarkan sebahagian sawah mereka digunakan sebagai sumber makanan burung, mengurangkan penggunaan racun perosak dan mengelakkan pencerobohan kawasan terlindung atau mencuri telur burung itu.

    Gambar fail menunjukkan petani Kemboja menggunakan bot untuk menuai mimosa air, hidangan sayuran yang popular, di sebuah ladang di Phnom Penh pada 13 Februari 2019. – AFP

    Menerusi Crane Rice™, hasil tanaman dijual pada harga premium, iaitu lima hingga 7.5 peratus lebih mahal berbanding beras biasa.

    Beg kampit beras turut memaparkan imej burung Jenjang Sarus, menjadikan ia satu peluang penjenamaan unik yang menyokong usaha pemuliharaan sambil meningkatkan pendapatan petani.

    “Kami berusaha menyediakan habitat selamat untuk burung itu sambil memastikan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NatureLife Cambodia, Bou Vorsak.

    Petani yang menyertai program tersebut menerima baja organik percuma, benih padi dan latihan mengenai teknik pertanian lestari.

    Mereka perlu membenarkan lima peratus padi untuk menjadi makanan burung, mengurangkan penggunaan bahan kimia sebanyak 30 peratus serta mengamalkan teknik mesra alam.

    Kini, 120 keluarga di Kampung Trach melindungi burung terancam itu di kawasan sawah seluas 135 hektar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda