Kelibat penyanyi Jennie dilihat menonton persembahan anggota kumpulan Blackpink iaitu Lisa di festival muzik Coachella Valley 2025 minggu kedua menarik perhatian ramai.
Menerusi video tular di laman X, meskipun Jennie cuba untuk menyembunyikan dirinya, namun peminat masih boleh mengenali penyanyi berkenaan di sebalik cermin mata hitam dan hoodie yang dipakai, menurut laporan mStar.
Kemunculan Jennie turut meredakan khabar angin tentang persengketaan di kalangan anggota Blackpink terutamanya antara Jennie dan Lisa yang didakwa giat mengejar kerjaya solo mereka di luar negara.
“Pembenci Blackpink buat hal lagi, memuat naik hantaran yang tak masuk akal tentang Jennie dan Lisa. Sekarang kita dapat lihat sendiri bahawa mereka saling memberikan sokongan antara satu sama lain.
“Jennie tidak ketinggalan untuk menonton kesemua persembahan Lisa pada malam itu.
“Kelakar betul bila ada yang sentiasa membandingkan mereka dan membuat khabar angin tentang perbalahan ini,” tulis warganet.
Untuk info, Coachella Valley 2025 berlangsung di California, Amerika Syarikat bermula 11 April lalu.
Selain Lisa, Jennie turut memeriahkan pentas Coachella 2025 tahun ini termasuk beberapa barisan penyanyi popular iaitu Lady Gaga, Green Day, Travis Scott, Ed Sheeran dan Missy Elliot.
