Pelakon Indonesia, Jennifer Coppen resah memikirkan nasib anak perempuannya andai nyawanya tidak panjang seperti suaminya yang meninggal dunia tahun lalu.
Memetik laporan mStar, Jennifer atau Jennifer Rochelle Coppen, 24, berkata, dia bukan takut mati tetapi bimbang tiada siapa dapat menjaga anaknya iaitu Kamari yang baru berusia setahun.
“Saya memang takut dengan kematian tapi bukan takut mati.
“Saya bimbang kalau anak saya tiada siapa yang nak jaga. Dia nak duduk dengan siapa? Saya tiada adik-beradik.
“Ibu bapa saya sudah tua, ibu mentua saya juga sudah uzur. Kalau saya dan mereka sudah tiada, siapa mahu jaga Kamari?” katanya.
Dalam pada itu, Jennifer memberitahu dia sudah pun menyediakan hak penjagaan untuk anaknya sekiranya sesuatu berlaku kepadanya.
“Saya sebenarnya sudah menyediakan hak penjagaan anak saya, ia akan diuruskan oleh abang ipar saya dan isterinya,” ujarnya.
Untuk rekod, Jennifer dan Dali Wassink mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2023 namun suaminya meninggal dunia pada 18 Julai 2024.
Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Kamari Sky Wassink yang kini berusia setahun.
Baru-baru ini, Jennifer secara terbuka mendedahkan dia mengandungkan Kamari sebelum dia dan arwah suaminya bernikah. – Agensi