Pelakon Jennifer Garner dikhabarkan memberi sokongan moral kepada bekas suaminya, aktor Ben Affleck susulan berdepan krisis rumah tangga.
Menurut mStar yang memetik laporan Daily Mail, Jennifer, 52, kerap mengunjungi rumah sewa Ben di Brentwood, Los Angeles sejak lelaki itu keluar dari kediamannya beberapa minggu lalu.
Pelakon itu dikatakan cuba menghalang bekas suaminya daripada kembali kepada masalah ketagihan alkohol yang dihadapi sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Jennifer turut menjadi orang tengah cuba menyelamatkan rumah tangga Ben bersama Jeniffer Lopez atau JLo.
Menurut sumber, JLo sering bercerita masalah rumah tangganya memandangkan Jennifer pernah melalui perkara sama.
“JLo berkongsi masalah dengan Jennifer kerana dia tahu bahawa Jen (Jennifer) memahami apa yang dia lalui.
“Walaupun keadaan agak berbeza, tetapi mereka menghadapi masalah dengan lelaki yang sama,” katanya.
Untuk rekod, Jennifer dan Ben pernah mendirikan rumah tangga pada Jun 2005 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Kemudian, pasangan itu sah bercerai pada 2018 setelah lebih 10 tahun bersama. – Agensi